SENI JAHITAN (SULAMAN)



MAKLUMAT SENI JAHITAN (SULAMAN)

        Sebuah hasil karya yang bertujuan untuk mengindahkan atau mencantikkan lagi sesuatu jenis fabrik, pakaian, aksesori dan juga kraftangan adalah sulaman. Pada asasnya, sulaman menggunakan jarum dan benang serta kepakaran menyulam. Sulaman juga mengenengahkan ragam hias yang indah kerana motif-motif rekaannya akan kelihatan timbul dari permukaan kain. Sulaman kaya dengan berbagai teknik yang berbeza-beza dan motif-motif ini turut mengalami arus perubahan mengikut peredaran zaman. Dalam seni dekorasi tekstil, sama ada dari China, India, negara Barat mahupun di negara Arab, seni sulaman adalah salah satu keunikan dunia yang masing-masing mempunyai sejarah dan perkembangan yang tersendiri. Mengikut Syed Ahmad Jamal (1989), sulaman adalah sejenis seni hias Melayu tradisi yang dihasilkan pada kain daripada benang-benang berwarna dan adakalanya sulaman diperkaya dengan hiasan tambahan seperti labuci, manik dan sebagainya. Warisan seni sulaman tradisi masih lagi dipraktikkan walaupun mengalami perubahan yang besar pada teknik dalam kemodenan dunia masa kini. 

        Dalam masyarakat Melayu, seni sulaman telah menjadi suatu seni warisan sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, terutamanya sewaktu zaman kegemilangannya. Mengikut Richard Winstedt (1981), pedagang-pedagang dari Arab, India dan China merupakan pengaruh utama dalam mencorak seni sulaman Melayu melalui kepelbagaian tekstil yang dibawa masuk. Pada ketika itu, Sultan Melaka dikatakan pernah dihadiahkan tekstil bersulam emas yang dibawa khas dari negara China. Seni sulaman dalam tekstil Melayu adalah pelbagai dari segi motif, warna, susun atur dan teknik menyulam. Pedagang-pedagang telah memperkenalkan sulaman benang emas kepada penduduk tempatan yang kemudiannya di hasilkan sendiri mengikut citarasa tempatan. Bangsa Melayu dikatakan satu bangsa yang secara semulajadinya pandai mengolah dari pelbagai budaya asing dan diserapkan dalam budaya Melayu (A. Aziz Deraman, 1985).

Comments

Popular posts from this blog

PAKAIAN TRADISIONAL JOHOR